Pelajar dan Keprihatinan Sosial
“Pelajar hari ini bersikap apati; tidak mempedulikan hal-hal masyarakat, hanya bertungkus-lumus untuk diri sendiri”.
“Pelajar ingin memberi khidmat kepada masyarakat, tetapi tugas-tugas akademik terlalu menekan dan menghalang mereka”.
“Berbanding dengan era sebelum Akta Universiti dan Kolej Universiti, suasana di kampus-kampus sekarang begitu mengongkong dan menghalang kebebasan pelajar”.
Ini antara komen-komen yang sering kita dengar daripada berbagai-bagai pihak apabila memperkatakan tentang sikap dan penglibatan pelajar dalam hal-hal kepentingan masyarakat luas. Mengapa soal sikap (baca keprihatinan) dan penglibatan pelajar ini penting dibincangkan?
Keprihatinan (kepedulian) dan penglibatan pelajar dalam hal-hal kemasyarakatan penting dibincangkan kerana beberapa faktor berikutnya.
Pertama, pelajar ialah golongan berpelajaran yang merupakan sebahagian anggota masyarakat dan, sesetengahnya, bakal mewarisi kepemimpinan dalam pelbagai bidang kehidupan masyarakat. Untuk itu mereka perlu memahami masyarakatnya. Memahami masyarakat bererti memahami keadaan, keperluan dan aspirasi (cita-cita) mereka. Tanpa kefahaman ini bagaimana mungkin pelajar menjadi anggota dan pemimpin masyarakat kelak?
Namun, kefahaman dan kesedaran tentang masyarakat tidak datang (atau cukup) hanya melalui bacaan, perbincangan di bilik/dewan kuliah, atau penyelidikan (tanpa melibatkan interaksi dengan masyarakat) sahaja. Semua itu penting dan membantu, tetapi ia juga memerlukan suatu bentuk penglibatan pelajar secara konkrit di lapangan.
Dalam kata lain, pelajar perlu “turun padang”, mengerjakan sesuatu yang berfaedah bersama-sama komuniti atau masyarakat. Cara ini memberi peluang kepada pelajar untuk lebih memahami, masyarakatnya. Bagi pelajar, penglibatan dalam kerja kemasyarakatan, disebabkan ia suatu tindakan (action) yang menggunakan pelbagai deria, memungkinkan pembelajaran berlaku secara yang lebih berkesan.
Penglibatan bersama masyarakat dalam sesuatu kegiatan juga membantu pelajar mengetahui dan sedar akan keadaan sebenar (real) masyarakatnya, bukan sekadar gambaran atau naratif (cerita) oleh orang lain. Sebaik-baiknya pengalaman ini tidak suatu kegiatan ad hoc tanpa perancangan yang rapi dan tindakan susulan jangka panjang.
Selain itu, sudah semestinya melalui kegiatan seperti ini pelajar diberi sepenuh peluang dan galakan untuk merancang, membuat persiapan, melaksanakan dan menilai program yang dijalankan. Ini juga menjamin proses pembelajaran yang lebih bererti bagi pelajar.
Kedua, keprihatinan dan penglibatan pelajar ini juga berkait rapat dengan raison d’ etre(sebab atau justifikasi kewujudan) universiti atau pusat-pusat pengajian tinggi itu sendiri. Ini kerana universiti sebagai pusat ilmu seharusnya berfungsi dan menyumbang kepada masyarakatnya. Universiti bukan menara gading yang harus bersikap “tidak ambil pusing” atau berkecuali terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat.
Keprihatinan dan penglibatan pelajar (dan juga kalangan pensyarah serta pentadbiran universiti) dalam hal-hal kepentingan masyarakat bererti pelajar dan universiti memahami dan peka akan peranan mereka yang sepatutnya.
Dalam hal ini kita kerap mendengar persoalan peranan atau misi universiti dibangkitkan oleh pelbagai pihak (sila baca catatan saya di laman web ini, Roh Universiti). Ramai yang mengakui bahawa universiti perlu menjadi lebih relevan kepada masyarakat, namun tidak ramai yang menterjemahkan kata-kata mereka dalam tindakan-tindakan konkrit bagi menggalakkan pelajar agar prihatin atau mengambil berat tentang keadaan dan masa depan masyarakat. Alasan atau mesej mereka agak standard: tugas pelajar untuk belajar, lulus peperiksaan dengan cemerlang, dan kemudian berkhidmatlah kepada masyarakat”.
Memang tidak dinafikan belajar itu tugas utama pelajar. Tetapi, mengambil kira tujuan kewujudan universiti di atas, apakah belajar itu tidak termasuk mengetahui dan memahami tentang masyarakat serta hal-hal lain yang berkaitan kepentingan masyarakat? Tanpa pendedahan di lapangan dan kefahaman tentang masyarakat bagaimanakah keprihatinan serta tindakan membantu masyarakat dalam kalangan pelajar dapat dijanakan sebaik dan seberkesannya?
Mengapa harus menangguhkan pembelajaran dan pemahaman tersebut sehingga pelajar bergraduat dan bekerja nanti? Menunggu sehingga pelajar bergraduat dengan pencapaian akademik yang cemerlang tidak semestinya menjamin perkhidmatan dan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat. Dalam banyak pengalaman kita, ramai lepasan universiti yang lebih mementingkan kedudukan dan kesenangan mereka dan suku-sakat mereka sahaja, manakala hal-hal kemasyarakatan, jikapun ada, lebih suatu kebetulan atau tugas rasmi kepejabatan (pekerjaan bergaji).
Mengapa ia tidak ditekankan sekarang sebagai suatu komponen pengajian yang asas dan penting, di samping memperlihatkan komitmen kepada misi universiti di atas?
Di sini tidak dinafikan bahawa program-program seperti “khidmat komuniti”, atau “bakti siswa”, serta penawaran aktiviti-aktiviti kokurikulum dalam bidang-bidang berkenaan seperti yang dilaksanakan oleh universiti-universiti sekarang memang suatu usaha yang baik dan membantu ke arah itu, tetapi ia sangat terbatas untuk mencapai kesedaran dan keprihatinan yang dimaksudkan.....
Seperti dibayangkan tadi, program dan aktiviti yang diadakan setakat ini kebanyakannya lebih sebagai “memenuhi syarat” dan masih terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki, khususnya dalam aspek-aspek perancangan dan proses kerja (yang seharusnya lebih sistematik), komitmen pentadbiran, sikap dan peranan komuniti sasaran (sejauh mana mereka diberi kefahaman tentang rasionel dan tujuan program serta penglibatan mereka?), penilaian keberkesanan (yang seharusnya merangkumi semua mereka yang terlibat). Sesetengah program/aktiviti ini juga dilihat dan dianggap (oleh pelbagai pihak) sebagai suatu kegiatan ringan dan “suka-sukaan”.
Ini mudah difahami kerana nilai rendah yang diletakkan kepada aspek-aspek kemasyarakatan oleh sistem pengajian kita. Pensyarah, pelajar dan pentadbir juga rata-ratanya cenderung melihat “khidmat masyarakat” sebagai suatu aktiviti riadah (rekreasi) dengan konotosi sampingan atau picisan. Sikap ini barangkali terjelma dari ideologi dan sistem pengajian yang meletakkan premium tinggi kepada kehendak pasaran (baca bisnes, industri, sektor korporat) dan melihat (kepentingan) masyarakat ramai sebagai “kelas kedua” yang dipercayai (seperti dalam debat ekonomi pembangunan 1960-1970-an dahulu) akan turut menikmati “kesan titisan ke bawah” (trickle-down effect) hasil kemajuan pasaran nanti....
Keadaan ini tentu berpotensi menimbulkan konflik dalam peranan dan misi universiti. Di satu pihak universiti diperingatkan tentang raison d’ etre kewujudannya di tengah-tengah masyarakat, sedangkan di satu pihak lain, kehendak pasaran dicanangkan sebagai keutamaan yang tidak harus dikompromikan.
Memang tidak mudah menangani permasalahan ini (malahan banyak pihak yang tidakpun melihat ini sebagai suatu permasalahan!). Bagi yang sedar dan atau memihak masyarakat luas, suatu usaha berterusan dan persistent perlu dilakukan untuk mengetengahkan perkara ini kepada pelbagai pihak yang menentukan dan melaksanakan sistem pengajian kita. Kepada mereka yang sudahpun tercelikkan (enlightened) dan cuba mendekatkan pelajar dengan masyarakat, maka sokongan dan kerjasama padu dalam aneka bentuk yang lebih kreatif mesti diberikan. Pokoknya, mereka -- sama ada di pihak pemerintah dan ataupun kepemimpinan universiti sendiri -- tidak seharusnya merelegasikan (merendahkan/ membelakangkan) kepentingan masyarakat yang mengandung dan melahirkan universiti itu sepertimana halnya dengan Kerajaan dan bisnes yang juga tidak terasas dan berkembang tanpa masyarakat.
Ketiga, sehubungan di atas, keprihatinan dan seterusnya sumbangan kepada masyarakat merupakan suatu bentuk goodwill dan tindakan timbal balik (reciprocal) universiti terhadap masyarakat yang menyumbang kepada kewujudan dan pembangunannya. Bagi kalangan pelajar dan pensyarah, ia suatu penghargaan kepada masyarakat yang memberi segala peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran dan kemudiannya menjadi orang-orang previleged di dalam masyarakat, dan bukannya bersikap kacang yang lupakan kulit.
Daripada huraian ringkas di atas, pelajar (dan universiti) seharusnya dididik serta digalakkan agar prihatin dan berusaha mengidentifikasikan diri dengan masyarakat luas. Untuk berkesan maka proses didikan ini perlu menggabungkan unsur-unsur teori dan amalan yang sistematik. Hal-hal kemasyarakatan tidak lagi harus dilihat sebagai perkara kecil dalam kurikulum akademik dan pembangunan pelajar, sebaliknya menjadi suatu komponen penting yang malah termaktub sebagai misi, polisi dan objektif universiti.
Begitu juga masyarakat tidak sepatutnya dilayan sebagai “warganegara kelas dua” sedangkan pasaran (kepentingan bisnes/industri) dilihat dan diberikan layanan istimewa seolah-olah sebagai “warganegara terpilih”. Kita mungkin dapat menghuraikan perkara ini di kesempatan lain, tetapi di sini memadai disebut bahawa menghormati dan menjaga kepentingan masyarakat ramai (dan bukan sebaliknya) merupakan suatu nilai utama demokrasi. Selain itu, seperti dinyatakan di atas, bukankah pasaran juga, dalam analisis terakhir, harus berkhidmat dan menyumbang kepada the common good dan kesejahteraan bersama?
penjelasan yang teliti tentang isu keprihatinan sosial dalam kalangan pelajar👌
ReplyDeleteWell explained about the issue of social concern among the sudents
ReplyDelete